Tuesday, September 8, 2009

NUR, MATA HATI DAN HATI - 1

NUR-NUR ILAHI ADALAH KENDERAAN HATI DAN RAHSIA HATI. NUR ITU IALAH TENTERA HATI, SEBAGAIMANA KEGELAPAN ADALAH TENTERA NAFSU. JIKA ALLAH S.W.T MAHU MENOLONG HAMBA-NYA MAKA DIBANTU DENGAN TENTERA ANWAR (NUR-NUR) DAN DIHENTIKAN BEKALAN KEGELAPAN. NUR ITU BAGINYA MENERANGI
(MEMBUKA TUTUPAN), MATA HATI ITU BAGINYA MENGHAKIMKAN DAN HATI ITU BAGINYA MENGHADAP ATAU MEMBELAKANG.

Allah s.w.t hanya boleh dikenal jika Dia sendiri mahu Dia dikenali.
Jika Dia mahu memperkenalkan Diri-Nya kepada hamba-Nya maka hati
hamba itu akan dipersiapkan dengan mengurniakannya warid. Hati hamba
diterangi dengan Nur-Nya. Tidak mungkin mencapai Allah s.w.t tanpa
dorongan yang kuat dari Nur-Nya. Nur-Nya adalah kenderaan bagi hati
untuk sampai ke Hadrat-Nya. Hati adalah umpama badan dan roh adalah
nyawanya. Roh pula berkait dengan Allah s.w.t dan perkaitan itu
dinamakan as-Sir (Rahsia). Roh menjadi nyawa kepada hati dan Sir
menjadi nyawa kepada roh. Boleh juga dikatakan bahawa hakikat kepada
hati adalah roh dan hakikat kepada roh adalah Sir. Sir atau Rahsia
yang sampai kepada Allah s.w.t dan Sir yang masuk ke Hadrat-Nya. Sir
yang mengenal Allah s.w.t. Sir adalah hakikat kepada sekalian yang
maujud.

Nur Ilahi menerangi hati, roh dan Sir. Nur Ilahi membuka bidang
hakikat-hakikat. Amal dan ilmu tidak mampu menyingkap rahsia hakikat-
hakikat. Nur Ilahi yang berperanan menyingkap tabir hakikat. Orang
yang mengambil hakikat dari buku-buku atau dari ucapan orang lain,
bukanlah hakikat sebenar yang ditemuinya, tetapi hanyalah sangkaan
dan khayalan semata-mata. Jika mahu mencapai hakikat perlulah
mengamalkan wirid sebagai pembersih hati. Kemudian bersabar menanti
sambil terus juga berwirid. Sekiranya Allah s.w.t kehendaki warid
akan didatangkan-Nya kepada hati yang asyik dengan wirid itu. Itulah
kejayaan yang besar boleh dicapai oleh seseorang hamba semasa
hidupnya di dunia ini.

Alam ini pada hakikatnya adalah gelap. Alam menjadi terang kerana ada
kenyataan Allah s.w.t padanya. Misalkan kita berdiri di atas puncak
sebuah bukit pada waktu malam yang gelap gelita. Apa yang dapat
dilihat hanyalah kegelapan. Apabila hari siang, matahari menyinarkan
sinarnya, kelihatanlah tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang menghuni bukit
itu. Kewujudan di atas bukit itu menjadi nyata kerana diterangi oleh
cahaya matahari.

Cahaya menzahirkan kewujudan dan gelap pula membungkusnya.
Jika kegelapan hanya sedikit maka kewujudan kelihatan
samar. Sekiranya kegelapan itu tebal maka kewujudan tidak kelihatan
lagi. Hanya cahaya yang dapat menzahirkan kewujudan, kerana cahaya
dapat menghalau kegelapan. Jika cahaya matahari dapat menghalau
kegelapan yang menutupi benda-benda alam yang nyata, maka cahaya Nur
Ilahi pula dapat menghalau kegelapan yang menutup hakikat-hakikat
yang ghaib. Mata di kepala melihat benda-benda alam dan mata hati
melihat kepada hakikat-hakikat. Banyaknya benda alam yang dilihat
oleh mata kerana banyaknya cermin yang membalikkan cahaya matahari,
sedangkan cahaya hanya satu jenis sahaja dan datangnya dari matahari
yang satu jua. Begitu juga halnya pandangan mata hati. Mata hati
melihat banyaknya hakikat kerana banyaknya cermin hakikat yang
membalikkan cahaya Nur Ilahi, sedangkan Nur Ilahi datangnya dari nur
yang satu yang bersumberkan Zat Yang Maha Esa.

Kegelapan yang menutupi mata hati menyebabkan hati terpisah daripada
kebenaran. Hatilah yang tertutup sedangkan kebenaran tidak tertutup.
Dalil atau bukti yang dicari bukanlah untuk menyatakan kebenaran
tetapi adalah untuk mengeluarkan hati dari lembah kegelapan kepada
cahaya yang terang benderang bagi melihat kebenaran yang sememangnya
tersedia ada, bukan mencari kebenaran baharu.

Cahayalah yang menerangi atau membuka tutupan hati. Nur Ilahi adalah cahaya yang
menerangi hati dan mengeluarkannya dari kegelapan serta membawanya
menyaksikan sesuatu dalam keadaannya yang asli. Apabila Nur Ilahi
sudah membuka tutupan dan cahaya terang telah bersinar maka mata hati
dapat memandang kebenaran dan keaslian yang selama ini disembunyikan
oleh alam nyata. Bertambah terang cahaya Nur Ilahi yang diterima oleh
hati bertambah jelas kebenaran yang dapat dilihatnya. Pengetahuan
yang diperolehi melalui pandangan mata hati yang bersuluhkan Nur
Ilahi dinamakan ilmu laduni atau ilmu yang diterima dari Allah s.w.t
secara langsung. Kekuatan ilmu yang diperolehi bergantung kepada
kekuatan hati menerima cahaya Nur.

Ilahi.

Murid yang masih pada peringkat permulaan hatinya belum cukup bersih,
maka cahaya Nur Ilahi yang diperolehinya tidak begitu terang. Oleh
itu ilmu laduni yang diperolehinya masih belum mencapai peringkat
yang halus-halus. Pada tahap ini hati boleh mengalami kekeliruan.
Kadang-kadang hati menghadap kepada yang kurang benar dengan
membelakangkan yang lebih benar. Orang yang pada peringkat ini perlu
mendapatkan penjelasan daripada ahli makrifat yang lebih arif.
Apabila hatinya semakin bersih cahaya Nur Ilahi semakin bersinar
meneranginya dan dia mendapat ilmu yang lebih jelas. Lalu hatinya
menghadap kepada yang lebih benar, sehinggalah dia menemui kebenaran
hakiki.

1 comment:

  1. Casino Del Sol: What makes the table games so popular
    A typical table game would be 남원 출장안마 played with three cards and two cards (one aces) on the table. The 평택 출장마사지 player 동두천 출장마사지 to the dealer's left of 원주 출장샵 the dealer's 목포 출장마사지 left,

    ReplyDelete