Tuesday, September 8, 2009

NUR, MATA HATI DAN HATI - 2

TERBUKA MATA HATI MEMPERLIHATKAN KEPADA KAMU AKAN HAMPIRNYA ALLAH
S.W.T. PENYAKSIAN MATA HATI MEMPERLIHATKAN KEPADA KAMU AKAN KETIADAAN
KAMU DI SAMPING WUJUD ALLAH S.W.T. PENYAKSIAN HAKIKI MATA HATI
MEMPERLIHATKAN KEPADA KAMU HANYA ALLAH YANG WUJUD, TIDAK TERLIHAT
LAGI KETIADAAN KAMU DAN WUJUD KAMU.

Apabila hati sudah menjadi bersih maka hati akan menyinarkan
cahayanya. Cahaya hati ini dinamakan Nur Kalbu. Ia akan menerangi
akal lalu akal dapat memikirkan dan merenungi tentang hal-hal
ketuhanan yang menguasai alam dan juga dirinya sendiri. Renungan akal
terhadap dirinya sendiri membuatnya menyedari akan perjalanan hal-hal
ketuhanan yang menguasai dirinya. Kesedaran ini membuatnya merasakan
dengan mendalam betapa hampirnya Allah s.w.t dengannya. Lahirlah di
dalam hati nuraninya perasaan bahawa Allah s.w.t sentiasa
mengawasinya. Allah s.w.t melihat segala gerak-gerinya, mendengar
pertuturannya dan mengetahui bisikan hatinya. Jadilah dia seorang
Mukmin yang cermat dan berwaspada.

Di antara sifat yang dimiliki oleh orang yang sampai kepada martabat
Mukmin ialah:
1: Cermat dalam pelaksanaan hukum Allah s.w.t.
2: Hati tidak cenderung kepada harta, berasa cukup dengan apa yang
ada dan tidak sayang membantu orang lain dengan harta yang
dimilikinya.
3: Bertaubat dengan sebenarnya (taubat nasuha) dan tidak kembali lagi
kepada kejahatan.
4: Rohaninya cukup kuat untuk menanggung kesusahan dengan sabar dan
bertawakal kepada Allah s.w.t.
5: Kehalusan kerohaniannya membuatnya berasa malu kepada Allah s.w.t
dan merendah diri kepada-Nya.

Orang Mukmin yang taat kepada Allah s.w.t, kuat melakukan ibadat,
akan meningkatlah kekuatan rohaninya. Dia akan kuat melakukan tajrid
iaitu menyerahkan urusan kehidupannya kepada Allah s.w.t. Dia tidak
lagi khuatir terhadap sesuatu yang menimpanya, walaupun bala yang
besar. Dia tidak lagi meletakkan pergantungan kepada sesama makhluk.
Hatinya telah teguh dengan perasaan reda terhadap apa jua yang
ditentukan Allah s.w.t untuknya. Bala tidak lagi menggugat imannya
dan nikmat tidak lagi menggelincirkannya. Baginya bala dan nikmat
adalah sama iaitu takdir yang Allah s.w.t tentukan untuknya. Apa yang
Allah s.w.t takdirkan itulah yang paling baik. Orang yang seperti ini
sentiasa di dalam penjagaan Allah s.w.t kerana dia telah menyerahkan
dirinya kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t kurniakan kepadanya keupayaan
untuk melihat dengan mata hati dan bertindak melalui Petunjuk Laduni,
tidak lagi melalui fikiran, kehendak diri sendiri atau angan-angan.
Pandangan mata hati kepada hal ketuhanan memberi kesan kepada hatinya
(kalbu). Dia mengalami suasana yang menyebabkan dia menafikan
kewujudan dirinya dan diisbatkannya kepada Wujud Allah s.w.t. Suasana
ini timbul akibat hakikat ketuhanan yang dialami oleh hati.. Dia
berasa benar-benar akan keesaan Allah s.w.t bukan sekadar
mempercayainya.

Wahai sahabatku, Jangan meninggalkan zikir, kerana engkau belum selalu ingat kepada Allah di waktu berzikir, sebab kelalaianmu terhadap Allah ketika tidak berzikir lebih berbahaya daripada kelalaianmu terhadap Allah ketika kamu berzikir..

No comments:

Post a Comment